SEJARAH


Sekolah Rendah Bantuan St Elizabeth Tijirak mula ditubuhkan pada 08.07.1946 setelah satu persetujuan dicapai dalam rundingan yang diadakan di antara pihak Mubaligh Roman Katolik dengan penduduk kampung. Bangunan sekolah yang didirikan ketika itu hanyalah sebuah bilik kelas dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.Bahan-bahan untuk pembinaan diperolehi daripada hutan berhampiran seperti kayu, buluh dan daun rumbia untuk dijadikan tiang, dinding dan atap. Pada masa itu para AJK sekolah adalah :-
  • Mr. Joseph Niyung Ak Turi (pengerusi)
  • Mr. Jacob Sumban Ak Misang
  • Mr. Petrus Siyon Ak Turi
  • Mr. Micheal Rason Ak Masi
Guru besar yang pertama bertugas di sekolah Rendah St Elizabeth Tijirak pada masa itu adalah Encik Peter Jora Ak Kaing. Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1954, murid-murid sekolah menumpang belajar di bawah rumah Encik Paul miris Ak Mingen. Tidak lama selepas itu, murid-murid sekolah berpindah pula ke Gereja untuk menumpang belajar di sana oleh kerana bawah rumah Encik Paul Miris Ak Mingen terlalu becak. Pada tahun 1955, hasil kerjasama penduduk Kampung Tijirak, Siga, Masaan dan Sungai Duuh bangunan Sekolah Rendah Bantuan St Elizabeth Tijirak telah berpindah ke satu kawasan baru yang terletak kira-kira dua kilometer dari tapak lama di antara Kampung Tijirak dan Kampung Sinjok hingga ke hari ini. Namun demikian, nama asal sekolah masih dikekalkan sebagai Sekolah Rendah Bantuan St Elizabeth Tijirak hingga ke tahun 2000 walaupun ia terletak di kampung Sinjok.

Pada tahun 1957, murid-murid dari Darjah 6 mengambil ujian Common Entrance Examination buat pertama kalinya. Pada tahun 1958, Encik Stephen Jussem Dudon mula berkhidmat di Sekolah Rendah Bantuan St Elizabeth Tijirak, di mana beliau merupakan guru yang pertama mempunyai Senior Cambridge Certificate Form 5. Setahun selepas itu, iaitu pada tahun 1959 Sekolah rendah Bantuan St Elizabeth Tijirak mencatat sejarah di mana murid-murid Darjah 6 sekali lagi mengambil Ujian Common Entrace Examination. Seramai 6 orang telah lulus dan layak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Mereka adalah :-
  • Maria Meni
  • Micheal Chin Siok
  • Paul Suwing Sitem
  • Martha Bidu
  • Henry Kares
  • Kudis
Tahun demi tahun bilangan murid pun bertambah dan dalam Tahun 1960 satu lagi blok bangunan sekolah dibina secara bergotong-royong. Pada tahun yang sama sebuah asrama dan rumah guru juga telah dibina secara bergotong-royong untuk menampung pelajar-pelajar yang datang dari jauh selain daripada kawasan Siburan (Kampung Siga, Masaan, Sungai Duuh & Duras). Ini termasuk murid-murid dari kampung Serasot, Kampung Setengang, Kampung  Staas di Daerah Bau, Kampung Semeba, Kampung Sudad di Daerah Kuching, Kampung Seratau, Kampung Mundai di Daerah Padawan.
                
Sejak itu bilangan murid semakin berkurangan dan mereka yang masih bersekolah di sekolah ini hanyalah murid-murid tempatan iaitu mereka yang tinggal di kawasan Siburan sahaja. Pada awal tahun lapan puluhan bilangan murid semakin berkurangan apabila pelajar-pelajar dari tiga buah kampung iaitu Kampung Sentah, Kampung Sungai Duuh dan Kampung Masaan mula bersekolah di Sekolah Rendah Kerajaan Siburan. Sejak itu hanya pelajar-pelajar dari tiga buah kampung yang dekat dengan sekolah sahaja iaitu Kampung Tijirak, Kampung Sinjok dan Kampung Siga yang bersekolah di Sekolah Rendah Bantuan St. Elizabeth Tijirak hingga ke hari ini.  


Pada Tahun 2000, Sekolah Rendah Bantuan (SRB) St. Elizabeth Tijirak telah ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan (SK) St. Elizabeth Tijirak. Pada tahun itu juga murid-murid semakin bertambah, kerana murid-murid  Taman Duranda Emas juga bersekolah di sini.

Pada Tahun 2009, sekolah menerima Cek No. 187038 bernilai RM 150,000.00 dan Cek No. 196587 bernilai RM 180,000.00 dari Kerajaan Malaysia di bawah program “ Peruntukan Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Mubaligh “ di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Negara 2009 Kementerian Pelajaran Malaysia. Cek-cek berkenaan diserahkan kepada Lembaga Pengurusan Sekolah. Pengerusi LPS, En. Felix Lucas menggunakan kesemua wang itu untuk kerja pembaikkan dan naik taraf seperti yang kita saksikan sekarang .